Minggu, Agustus 31, 2008
Haji Abdul Rahman Limbong, Ulama Yang Warak & Pejuang Bangsa Sejati
Haji
Abdul Rahman Limbong merupakan seorang ulama memiliki peribadi yang
sangat menarik dan warak. Beliau juga seorang ulama pejuang menentang
penjajah di Terengganu yang sangat disegani. Nama sebenarnya ialah Haji
Abdul Rahman bin Haji Abdul Hamid bin Abdul Qadir. Sumber sejarah
menerangkan bahawa ayahanda beliau berasal dari keturunan Patani. Tarikh
kelahiran Haji Abdul Rahman Limbong sebenarnya tidak dapat dipastikan.
Tapi dari sekian banyak maklumat dan rujukan dapat dipastikan beliau
dilahirkan sekitar tahun 1285H/1868M.
Semasa kecilnya, seperti kanak-kanak lain, beliau dihantar oleh ayahandanya untuk mendalami pengajian agama Dan
sememangnya di zamannya, perkembangan Islam cukup pesat. Oleh kerana
itu tidak hairanlah jika beliau sejak kecil lagi sudah menerima
pendidikan agama. Ada sumber-sumber yang menjelaskan bahawa sejak kecil
lagi beliau menghabiskan masa bersama-sama bapa saudara beliau iaitu
Haji Tun Muhammad Zain di Makkah. Setelah dewasa, beliau dibawa semula
kembali ke Terengganu. Kepesatan perkembangan pondok-pondok pengajian
yang begitu banyak di zaman itu mendorong beliau untuk mendalami lagi
pengajian agama. Di antara pondok-pondok yang terdapat di jajahan
Terengganu, pondok Tokku Palohlah yang terkenal serta menjadi tumpuan
para pelajar. Timbullah keinganan beliau untuk mengaji di pondok Tokku
Paloh. Sebelum itu, sebagai persiapan ke pondok Tokku Paloh, beliau
terlebih dahulu berguru kepada Tuan Guru Haji Yaakob Paya Bunga
dalam pelajaran nahu saraf dan feqah. Dan beliau dikatakan hanya
mengambil masa selama kira-kira dua bulan sahaja untuk menguasai
pelajaran tersebut.
Dikatakan
juga bahawa Haji Abdul Rahman Limbong sebagai seorang murid yang agak
luar biasa kecerdasan akalnya. Sehingga dengan itu beliau mampu untuk
mengajar murid-murid Haji Yaakob Paya Bunga yang lain. Dan sememangnya
sejak kecil lagi telah terlihat pada diri beliau tanda-tanda yang beliau
akan menjadi seorang tokoh yang terkenal dalam sejarah.
Setelah
tamat mengaji kepada Haji Yaakob Paya Bunga, beliau mengaji pula kepada
Haji Wan Musa. Dengan ilmu yang telah diperolehi dari Haji Yaakob Paya
Bunga dan Haji Wan Musa, barulah beliau mula untuk merapatkan diri
dengan pondok pengajian Tokku Paloh. Untuk pergi ke pondok pengajian
Tokku Paloh dari tempat kediaman beliau, terpaksalah beliau berulang
alik menaiki perahu. Semuanya ini dilakukan dengan penuh kesabaran dan
ketabahan demi mendalami lagi pengetahuan agama. Hal yang semacam inilah
yang dilalui oleh para ulama di zaman beliau sebelum mereka terkenal
sebagai seorang ulama terkemuka.
Pada
peringkat awal pengajian beliau dengan Tokku Paloh, beliau hanya
menjadi khadam kepada Tokku Paloh. Beliau bertugas sebagai menyapu
halaman rumah, membersihkan surau, menyediakan kayu api, mengisi air di
kolah surau dan sebagainya. Dan sememangnya cara sedemikian dilalui oleh
kebanyakan para ulama sufi demi peningkatan rohani. Melalui pendidikan
seperti inilah akhirnya mereka menjadi tokoh-tokoh terkemuka di zaman
mereka. Dan ini juga merupakan salah satu proses pendidikan tasauf demi
untuk melahirkan manusia yang benar-benar bertaqwa.
Lama
kelamaan, kelakuan beliau akhirnya diketahui oleh Tokku Paloh. Timbul
rasa kasih Tokku Paloh terhadap beliau kerana kesungguhannya untuk
belajar. Dan akhirnya beliau diterima menjadi murid kepada Tokku Paloh
dan belajar bersama-sama pelajar-pelajar lain.
Haji
Abdul Rahman Limbong mempunyai kecekapan yang agak luar biasa. Dalam
masa yang singkat sahaja beliau dapat telah menguasai segala pelajaran
yang diajarkan. Di samping itu beliau terkenal sebagai seorang yang
sangat menghormati guru. Segala suruhan serta arahan guru-gurunya,
dilaksanakan serta dipatuhi dengan segera. Apabila berhadapan dengan
tuan gurunya, Tokku Paloh, beliau tidak pernah untuk mengangkat muka,
betapalah pula untuk bertentangan mata. Kerana semuanya ini merupakan
adab-adab dalam berguru sebagaimana yang telah diterangkan dengan
panjang lebar oleh Imam al-Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin.
Oleh
kerana beliau boleh dikatakan di antara murid Tokku Paloh yang
terpintar serta baik akhlaknya, maka tidak hairanlah mengapa Tokku Paloh
begitu sayang dan kasih terhadap beliau. Tokku Paloh semacam
mengharapkan Haji Abdul Rahman Limbong sebagai pengganti beliau selepas
beliau meninggal dunia. Dan akhirnya ternyata bahawa Haji Abdul Rahman
Limbong mewarisi kepimpinan serta perjuangan yang dilaksanakan oleh
Tokku Paloh.
Oleh
kerana beliau menjadi khadam kepada Tokku Paloh, membuat kerja yang
berbagai-bagai, maka kuranglah masa beliau untuk dapat menghadiri majlis
pengajian ilmu. Oleh kerana itu beliau hanya mendengar pengajian di
tepi kolah sambil menatap kitab yang digunakan oleh Tokku Paloh. Hal ini
dilakukan tanpa disedari oleh sesiapa pun. Dan apabila selesai sahaja
pengajian, beliau menyembunyikan kitabnya di celah-celah atau surau. Ini
menunjukkan yang yang beliau tidak mahu diketahui turut sama-sama
belajar dengan murid-murid Tokku Paloh yang lain.
Oleh
kerana Tokku Paloh memimpin tarekat Naqsyabandiyah, maka dengan tidak
secara langsung Haji Abdul Rahman Limbong juga turut mengamalkan tarekat
tersebut. Tarekat Naqsyabandiyah boleh juga dikatakan sebagai satu
tarekat yang cukup terkenal serta banyak diamalkan dari dahulu
sehinggalah ke hari ini. Di gugusan Kepulauan Melayu, tarekat
Naqsyabandiyah boleh dikatakan memenuhi pondok-pondok pengajian di masa
itu. Dan oleh kerana itu, peranan tarekat ini cukup besar sekali dalam
pembentukan masyarakat Islam di sebelah sini.
Hasil
dari pengajian tasauf serta amalan tarekat Naqsyabandiyah, lahirlah
pada diri beliau sifat-sifat yang terpuji seperti zuhud, merendah diri,
berakhlak tinggi dan sebagainya. Di antara sikap beliau ialah tidak suka
menonjolkan diri walaupun beliau boleh dikatakan sebagai murid yang
terpintar di antara murid-murid yang lain. Oleh kerana itu kita dapat
difahamkan bahawa beliau lebih suka mengasingkan diri dari murid-murid
Tokku Paloh yang lain. Beliau juga dikatakan mengulangkaji segala
pelajaran secara bersendirian. Keadaan seumpama ini adalah melambangkan
keperibadian seorang yang layak menjadi tokoh di tengah masyarakat.
Sebab itu tidak hairan mengapa orang yang seumpama ini tetap menjadi
ikutan serta tumpuan orang ramai.
Sifat Peribadi Yang Menarik
Sebenarnya,
sejak kecil lagi telah terlihat sifat serta peribadi beliau yang
terkenal warak, bersopan-santun, merendah diri, tenang hati dan
sebagainya. Ini semuanya hasil didikan Tokku Paloh yang bertindak
sebagai guru beliau. Demikianlah beliau menjalani alam pendidikan pondok
sehingga akhirnya menjadi seorang ulama serta pemimpin yang berjuang ke
tengah masyarakat. Kealiman beliau dalam bidang agama serta kesungguhan
beliau mengamalkan tarekat Naqsyabandiyah, sehingga menyebabkan beliau
mempunyai keperibadian yang cukup baik.
Haji
Abdul Rahman Limbong memanglah diakui sebagai seorang yang sangat
mengasihi kanak-kanak serta memuliakan orang-orang miskin serta
anak-anak yatim. Lebih dari itu, beliau sanggup merendahkan diri dengan
mencuci air kencing kanak-kanak yang sering datang ke surau beliau.
Inilah satu sikap yang perlu ada kepada seorang pemimpin, iaitu perlu
menunjukkan contoh serta teladan kepada mereka yang berada di bawah
pimpinan mereka. Keadaan seumpama ini bukan menurunkan darjat mereka,
bahkan akan menyebakan bertambahnya kepercayaan orang ramai terhadap
mereka.
Di
antara sikap Haji Abdul Rahman Limbong ialah suka sekali menolong orang
yang sedang berada dalam kesusahan. Di samping itu beliau juga terkenal
kuat beribadah kepada Allah SWT. Sementara pada siang harinya digunakan
untuk mengajar murid-murid yang datang kepada beliau. Atas dasar inilah
maka sebahagian orang menganggap beliau sebagai salah seorang Wali
Allah serta mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam masyarakat.
Kebaikan serta kesolehan beliau terkenal oleh seluruh rakyat Terengganu.
Oleh
kerana kebaikan serta kesolehan beliau terkenal di seluruh Terengganu,
ramailah orang yang datang ke rumah beliau untuk berziarah serta meminta
nasihat atau minta untuk diselesaikan masalah yang timbul. Segala
masalah yang didatangkan kepada beliau tidaklah pernah beliau hampakan,
malah sedaya upaya beliau cuba menyelesaikannya. Ini dengan sendirinya
menambahkan lagi kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadap
beliau.
Suatu hal yang istimewa mengenai peribadi beliau ialah sikap warak beliau. Beliau
amat menghalusi tiap-tiap perkara yang haram dan subahat, terutama
dalam soal makan dan minum. Ini mungkin beliau berpegang kepada hadis
Rasulullah s.a.w. yang di antara lain menyebut bahawa hati manusia itu
ditempah oleh makan dan minum. Apabila makanan dan minuman itu
mengandungi perkara subahat, sudah tentu ianya akan dengan sendirinya
merubah sikap serta peribadi seseorang. Dan atas dasar inilah maka
beliau amat menjaga makan dan minum beliau serta hal-hal yang lainnya.
Mereka
yang mengenali serta pernah bersama-sama beliau menyebutkan bahawa
beliau tidak pernah singgah atau makan dan minum di kedai. Kerana
lazimnya makan dan minum di kedai dengan sendirinya menjatuhkan
kewibawaan seseorang pemimpin masyarakat. Umumnya diketahui bahawa di
kedai-kedai selalu belaku perkara-perkara yang mungkar. Oleh kerana itu
tidak hairanlah mengapa beliau tidak mahu singgah apatah lagi makan
minum di kedai.
Seorang
ulama serta pejuang di tengah masyarakat, sudah tentu merupakan orang
yang sanggup mengorbankan kepentingannya demi perjuangan yang
didukungnya. Lebih dari itu kebendaan bukanlah menjadi tujuan serta
harapan dalam perjuangan. Apa yang menjadi harapan bagi mereka ialah
untuk semata-mata membangunkan syariat Allah bertapak kukuh di atas muka
bumi. Oleh kerana itu tidaklah hairan mengapa Haji Abdul Rahman Limbong
tidak pernah sekali-kali meletakkan kebendaan sebagai suatu perkara
yang penting.
Ini
dapat diteliti berdasarkan kepada kehidupan rumahtangga beliau yang
memang agak sederhana sekali. Tidak terdapat apa-apa perhiasan yang
berharga di dalam rumah beliau kecuali barang-barang yang dianggap perlu
dalam kehidupan. Seorang ahli tarekat apatah lagi seorang syeikh
tarekat, sudah tentu tidak mahu keadaan rumahnya itu bersarang dengan
bentuk-bentuk keduniaan. Kerana kehidupan yang agak mewah dengan
sendirinya akanmenyebabkan penghuninya lalai serta berat dalam
mengerjakan amal ibadah. Ini dapat diperhatikan jika kita mengikuti
pengajian-pengajian tasauf yang amat menitikberatkan persoalan ini.
Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. sendiri pun berulangkali
menerangkan bahawa kehidupan dunia ini serta segala macam perhiasan
dunia ini merupakan penipuan kepada manusia yang hidup di atas muka
bumi.
Haji
Abdul Rahman Limbong memang sentiasa mengenakan pakaian yang
melambangkan ciri-ciri keIslaman. Oleh kerana itu beliau sentiasa
memakai baju Melayu atau jubah putih serta memakai serban. Ke mana-mana
pun beliau sentiasa memakai terompah yang diperbuat sendiri atau pun
dibeli dari orang lain. Kewarakkan beliau nampak jelas dengan sikap
beliau yang tidak suka sama sekali memakai kasut yang diperbuat di kedai
apatah lagi yang diperbuat oleh orang kafir. Lebih hebat lagi, apabila
beliau berjalan melalui perkampungan orang-orang kafir, beliau akan
menyamak kaki beliau.
Sebagai
seorang ulama yang warak lagi taat kepada Allah SWT dan di samping
sebagai seorang masyaikh tarekat Naqsyabandiyah, beliau amat kuat
menjaga syariat. Ketelitian beliau dalam menjaga syariat dapat dilihat
berdasarkan kepada kehidupan beliau sendiri. Tidak pernah sama sekali
beliau bertentangan mata dengan kaum wanita walaupun dengan murid-murid
beliau sendiri. Beliau juga akan menundukkan pandangan serta menyisihkan
diri apabila bertembung dengan kaum wanita.
Sebagaimana
guru-guru serta ulama pondok yang lain, beliau juga mempunyai dua
khadam yang secara sukarela menolong beliau menyelesaikan tugas-tugas di
rumah. Kedua-dua mereka ialah Haji Hussin bin Muhammad dan Haji Ali
Yaakob. Mereka mendakwa bahawa mereka sama sekali tidak pernah melihat
isteri Haji Abdul Rahman Limbong. Mereka berdua hanya dibenarkan
mengangkat air untu kegunaan beliau setakat di hadapan pintu sahaja.
Setelah mereka berdua pergi, isteri beliau akan membawa air itu masuk ke
dalam rumah.
Demikian
keterangan bagaimana kuatnya beliau menjaga syariat. Isteri beliau akan
sentiasa mengenakan pakaian jilbab apabila keluar rumah bersama beliau
kerana sesuatu urusan. Di kampung beliau sendiri, diadakan sekatan
tempat permandian di antara kaum lelaki dan kaum wanita. Peraturan ini
sengaja beliau adakan bertujuan tidak berlaku fitnah apabila lelaki dan
wanita bercampur-gaul.
Keramat dan Kewaliannya
Sebenarnya,
bakat kepimpinan serta keistimewaan yang ada pada beliau itu sudah pun
kelihatan sejak beliau masih lagi berguru kepada Tokku Paloh. Beliau
suka beruzlah (mengasingkan diri) daripada murid-murid Tokku Paloh yang
lain. Seringkali beliau berulang-alik dari rumahnya ke pondok dengan
bersendirian, walaupun jarak di antara rumahnya dengan pondok pengajian
Tokku Paloh agak jauh. Keadaan beliau yang begini menimbulkan kehairanan
di kalangan orang-orang yang sering memerhatikan segala kelakuan
beliau.
Diceritakan
bahawa ada tiga orang lelaki telah mengintai kelakuan Haji Abdul Rahman
Limbong yang boleh menhilangkan diri dari pandangan manusia.
Ketiga-tiga lelaki tersebut memanjat pokok kelapa di tepi sungai tempat
beliau menyeberang sungai. Timbul kehairanan di hati mereka kerana di
tepi sungai tersebut tidak pun terdapat perahu, rakit atau sebagainya.
Haji
Abdul Rahman Limbong kelihatan duduk berselimut di atas batu yang agak
besar di tepi sungai. Tiba-tiba sahaja beliau hilang dari pandangan dan
sudah berada di tebing seberang sungai tersebut. Ini adalah beberapa
keramat yang Allah SWT izinkan terjadi kepada beliau.
Mengikut
cerita yang lain pula, Haji Abdul Rahman Limbong juga dipercayai tidak
basah apabila ditimpa hujan walaupun cuma berterendak. Keadaan yang sama
dikatakan pernah dialami oleh seorang mudridnya yang berteduh di dalam
jubah beliau semasa mereka bersama di dalam perahu menghilir sungai,
manakala orang lain yang menjadi pengayuh basah ditimpa hujan.
Suka Mengembara
Selain
mengajar, Haji Abdul Rahman Limbong adalah seorang ulama yang suka
mengembara atau merantau ke beberapa buah negeri. Soal kewangan untuk
mengembara tidak sukar baginya kerana di mana tempat beliau berpijak,
ada saja penduduk yang mahu menjadi muridnya. Pengembaraan yang dekat
dengan Terengganu di antaranya ialah Beserah, Kuantan, kedua-duanya
dalam Pahang. Selanjutnya Kelantan, Patani, Kedah dan lain-lain.
Negeri-negeri seberang laut yang pernah beliau merantau ialah Sambas, Jambi, Riau dan Brunei. Di negeri-negeri seberang laut itu juga terdapat murid-murid Haji Abdul Rahman Limbong.
Pengembaraan beliau ke negeri-negeri tersebut mempunyai kisah yang panjang, tetapi yang dapat diungkapkan di sini ialah tentang di Sambas dan Kepulauan Riau saja. Dalam pelayaran di laut, Haji Abdul Rahman Limbong menggunakan perahu buatan orang Terengganu sendiri. Beliau berlayar bersama-sama dengan murid-muridnya dari Terengganu dan juga ahli pelayaran pada zaman itu, bahawa mereka telah menggunakan perahu-perahu yang berukuran besar yang boleh dimuat barang-barang antara 100 hingga 350 tan.
Negeri-negeri seberang laut yang pernah beliau merantau ialah Sambas, Jambi, Riau dan Brunei. Di negeri-negeri seberang laut itu juga terdapat murid-murid Haji Abdul Rahman Limbong.
Pengembaraan beliau ke negeri-negeri tersebut mempunyai kisah yang panjang, tetapi yang dapat diungkapkan di sini ialah tentang di Sambas dan Kepulauan Riau saja. Dalam pelayaran di laut, Haji Abdul Rahman Limbong menggunakan perahu buatan orang Terengganu sendiri. Beliau berlayar bersama-sama dengan murid-muridnya dari Terengganu dan juga ahli pelayaran pada zaman itu, bahawa mereka telah menggunakan perahu-perahu yang berukuran besar yang boleh dimuat barang-barang antara 100 hingga 350 tan.
Penjajahan & Campur Tangan Inggeris
Haji
Abdul Rahman Limbong juga dikatakan sebagai seorang tuan guru yang sama
masyhurnya dengan Tokku Paloh di masa itu. Oleh kerana itu, tidaklah
begitu menghairankan jika Haji Abdul Rahman Limbong mendapat sambutan
yang baik dari orang ramai yang mengenali beliau. Syed Sagof merpakan
murid kesayaangan Haji Abdul Rahman Limbong. Bahkan lebih dari itu,
beliau sentiasa mengharapkan bahawa suatu masa kelak Syed Sagof akan
menggantikan beliau untuk meneruskan perjuangan yang beliau dukung
selama ini.
Untuk
itu, mereka merasakan perlu ada penentangan terhadap pihak penjajah
Inggeris yang mana tujuan utama mereka turut campur tangan dalam
pemerintahan ialah untuk menghancur serta meleburkan syariat Islam.
Pihak penjajah telah sedikit demi sedikit menanamkan perasaan bencikan
agama kepada golongan atasan serta rakyat sekeliannya. Ini dilakukan
oleh mereka dengan membawakan bentuk kehidupan mewah serta pendidikan
yang secara terang-terangan bertentangan dengan cara hidup beragama.
Para
ulama serta tuan guru-tuan guru yang mempunyai jiwa cintakan agama
telah bangkit menyeru rakyat untuk melakukan penentangan terhadap pihak
penjajah Inggeris. Sungguh pun begitu, pada peringkat awal penentangan
itu dilakukan bukan dengan bentuk senjata. Tetapi akhirnya terpaksalah
mereka bengkit menentang menggunakan senjata setelah penentangan secara
perlahan tidak berjaya memadamkan pengaruh penjajah yang semakin hari
semakin meningkat.
Sebenarnya,
kemasukan pihak penjajah dalam pentadbiran negeri-negeri Tanah Melayu
bertujuan untuk menyerapkan unsur-unsur kehidupan dan kebudayaan mereka
ke dalam kehidupan orang-orang Melayu yang pada ketika itu kuat
berpegang dengan agama. Kita tidak hairan mengapa kehadiran mereka tidak
disukai oleh rakyat. Tambahan pula kehadiran mereka ke negeri-negeri
sebelah timur adalah sebagai lanjutan dari Peperangan Salib yang berlaku
selama beberpa abad.
Dalam
tahun 1920-an, Inggeris campur tangan untuk mentadbir tanah di lokasi
Kuala Telemong hingga ke Ulu Telemong. Setiap ekar tanah yang dibuka
oleh rakyat dikenakan cukai oleh penjajah Inggeris.
Oleh sebab itulah, Haji Abdur Rahman Limbong dalam hujah-hujahnya di mahkamah bahawa tanah yang dibuka oleh rakyat itu adalah hak Allah bukannya hak negeri. Mungkin maksud negeri itu adalah yang ada campur tangan penjajah Inggeris.
Haji Abdur Rahman Limbong menegaskan bahawa tanah yang mereka miliki adalah tanah pusaka peninggalan orang-orang tua mereka yang datang dari Johor bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin I, Sultan Terengganu yang pertama. Dari riwayat ini dapat kita membuat kesimpulan bahawa orang-orang Melayu Islam di Hulu Terengganu dalam tahun 1920 lagi, di bawah bimbingan Haji Abdur Rahman Limbong, sudah kenal jati diri, kenal terhadap haknya, kenal terhadap tanah air, dan kenal terhadap bangsa sendiri.
Oleh sebab itulah, Haji Abdur Rahman Limbong dalam hujah-hujahnya di mahkamah bahawa tanah yang dibuka oleh rakyat itu adalah hak Allah bukannya hak negeri. Mungkin maksud negeri itu adalah yang ada campur tangan penjajah Inggeris.
Haji Abdur Rahman Limbong menegaskan bahawa tanah yang mereka miliki adalah tanah pusaka peninggalan orang-orang tua mereka yang datang dari Johor bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin I, Sultan Terengganu yang pertama. Dari riwayat ini dapat kita membuat kesimpulan bahawa orang-orang Melayu Islam di Hulu Terengganu dalam tahun 1920 lagi, di bawah bimbingan Haji Abdur Rahman Limbong, sudah kenal jati diri, kenal terhadap haknya, kenal terhadap tanah air, dan kenal terhadap bangsa sendiri.
Setelah
menggunakan berbagai tipu helah maka pihak Inggeris telah berjaya turut
campur tangan dalam pemerintahan kerajaan Terengganu yang pada asalnya
berasaskan perundangan Islam. Pihak penjajah sengaja mengenepikan
perundangan Islam, sebaliknya menampilkan undang-undang ciptaaan mereka
sendrri. Di samping itu mereka juga telah membawa unsur-unsur kehidupan
serta kebudayaan mereka yang akhirnya berjaya mengubah akhlak serta
kehidupan umat Islam sehingga ke hari ini.
Para
ulama yang mempunyai jiwa cintakan agama memberi kesedaran kepada umat
agar kembali semula kepada ajaran Islam. Tetapi seruan mereka hanya
mendapat perhatian di kalangan rakyat berbanding dengan golongan atasan.
Sementara itu, peraturan-peratauran yang dikenakan oeleh pihak penjajah
Inggeris cuba mnekan kehidupan masyaraat yang kebanyakkannya terdiri
dari kaum tani yang miskin.
Lama
kelamaan pihak penjajah mula meragui Haji Abdul Rahman Limbong serta
menganggap beliau sebagai merbahaya kerana dikatakan menghasut rakyat
untuk menentang kerajaan. Sungguhpun demikian, pihak Inggeris tidak
berani mengambil apa-apa tindakan terhadap beliau. Ini mungkin
disebabkan bahawa apa yang beliau lakukan tidak menampakkan apa-apa
kesalahan.
Di
samping itu terdapat seorang tokoh ulama yang turut menyeru rakyat
menentang pihak penjajah. Beliau ialah Haji Musa bin Abdul Ghani
Minangkabau. Beliau telah menebut kepaa rakyat bahawa barangsiapa yang
membayar pas menebas pas menebas (cukai) dan hasil-hasil tanah akan
termasuk golongan kafir. Beliau juga berkata, ”Barangsiapa yang tidak
mahu mengikut hukum syarak, Nabi tidak mengaku umatnya.”
Penentangan 21 Mei 1928
Akhirnya
berlakulah peristiwa penentangan rakyat Terengganu terhadap pihak
penjajah. Puncak kebangkitan rakyat menentang kerajaan ini ialah pada 21
Mei 1928. Kebangkitan 1928 melibatkan konflik berdarah, apabila
perkumpulan dan kemaraan petani telah ditentang oleh pihak kerajaan di
Ulu Telemong.
Dalam
perkara ini Haji Abdul Rahman Limbong disalahkan sebagai orang yang
bertanggungjawab menimbulkan pemberontakan dan penentangan ini. Oleh
kerana itu, pihak penjajah meneluarkan ancaman untuk menangkap beliau.
Untuk meredakan suasana yang berlaku, maka Haji Abdul Rahman Lombong
menyerah diri di Istana Maziah. Tidak ada seprang pun yang berani
mendekati beliau semasa berada di istna tersebut. Beliau menafikan
tuduhan yang mengatakan bahawa beliaulah yang menjadi punca berlkunya
penetangan rakyat terhadap pihak penjajah.
Atas
tuduhan tersebut, Haji Abdul Rahman Limbong dihadapkan ke perbicaraan
mahkamah. Perbicaraan tersebut dibuat di padang dan disaksikan oleh
pegawai Inggeris serta orang ramai. Kebetulan pula kerusi yang beliau
duduki itu menghadap ke arah kiblat, maka beliau terus menerus bersolat
sepanjang majlis perbicaraan tersebut berjalan.
Akhirnya
keputusan diambil oleh pihak Inggeris yang mana Haji Abdul Rahman
Limbong dibuang negeri ke Makkah. Sebelum itu terdapat pihak-pihak yang
mensyorkan supaya beliau dibuang negeri ke China. Tetapi akhirnya
keputusan diambil bahawa beliau dibuang negeri ke Makkah. Dan
sememangnya haji Abdul Rahman Limbong sendiri bercadang untuk
menghabiskan sisa-sisa umurnya ke Makkah.
Pembuangan Di Makkah & Wafatnya
Sungguhpun
beliau telah dibuang ke Makkah, namun pengajaran dan perjuangan yang
beliau bangunkan masih tetap utuh. Beliau masih tetap mengajar walaupun
berada di Makkah. Ramai murid-murid beliau yang menyambung semula
pengajian kepada beliau di Makkah ataupun menemui beliau sewaktu
menunaikan ibadah haji.
Sewaktu
beliau di Makkah, pernah beliau meminta kebenaran untuk pulang sebentar
ke Terengganu. Tetapi malangnya permintaan beliau ditolak dengan alasan
bahawa beliau nanti akan menimbulkan semangat kepada rakyat Terengganu.
Akhirnya, setelah sekian lama beliau berkhidmat mengajar berbagai
pengetahuan tentang agama di Makkah, maka beliau pun dijemput oleh Allah
SWT untuk mangadapNya. Beliau meninggal dunia pada 14 Jamadilakhir 1348
(1929) kerana menghidap penyakit di dalam perut. Dengan itu berakhirlah
perjuangan seorang ulama yang berpengaruh serta pengajarannya cukup
ketara di dalam kehidupan masyarakat Islam Terengganu sehinggalah ke
hari ini.
Demikianlah
beliau yang dengan ketokohannya menjadi seorang ulama, dapat menjadi
contoh serta teladan kepada generasi para ulama selepas beliau. Dan
tidak sepatutnya para ulama hanya mendiamkan diri tanpa membuar sesuatu
untuk kepentingan agama. Sepatutnya hendaklah diketahui, bahawa
perjuangan yang dilaksanakan oleh Haji Abdul Rahman Limbong ialah untuk
menegakkan kesucian agama dari pengaruh-pengaruh Barat yang menjejaskan
keimanan umat Islam di waktu itu.
Susunan:
M.A.Uswah,
Sandakan,
31 Ogos 2008.
M.A.Uswah,
Sandakan,
31 Ogos 2008.
Rujukan:
- Ringkasan Riwayat 11 Tokoh-Tokoh Sufi susunan Hamizan Hussin, terbitan Bismi Publishers, 1993.
- Ulama Terengganu, Suatu Sorotan suntingan Muhammad Abu Bakar, terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 1991.
- Haji Abdur Rahman Limbong, Ulama dan Pahlawan Melayu tulisan Wan Mohd Shaghir Abdullah, Utusan Malaysia, 2007.
Read more...
- Ringkasan Riwayat 11 Tokoh-Tokoh Sufi susunan Hamizan Hussin, terbitan Bismi Publishers, 1993.
- Ulama Terengganu, Suatu Sorotan suntingan Muhammad Abu Bakar, terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 1991.
- Haji Abdur Rahman Limbong, Ulama dan Pahlawan Melayu tulisan Wan Mohd Shaghir Abdullah, Utusan Malaysia, 2007.
0 comments:
Post a Comment